Abstract:
Pengetua sebagai pemimpin sekolah memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan kualiti
dan kecemerlangan serta merupakan tonggak kejayaan sesebuah organisasi sekolah. Sekolah-sekolah
yang mencapai kejayaan yang tinggi dalam bidang akademik dipimpin oleh pengetua yang mempunyai
sifat-sifat kepemimpinan yang berkesan. Sesungguhnya, kecemerlangan sekolah memerlukan seorang
pengetua yang mempunyai karakter yang baik dan unggul. Pemilihan dan prosedur kenaikan pangkat
pengetua-pengetua sekolah perlu mengikut satu method yang ditentusahkan. Keseluruhan proses ini
perlu dikaji semula untuk menjamin kualiti dan ketinggian mutu pendidikan negara. Pemilihan secara
terus mengikut senioriti atau kekananan serta kompetensi tugas melalui penilaian kemahiran pengurusan
dan pentadbiran yang diamalkan masa kini adalah tidak begitu jelas kesesuaiannya dalam melestarikan
kepimpinan pengetua. Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti dan mengesahkan
kerangka konsep serta atribut pemimpin sekolah (pengetua sekolah) ke arah kelestarian kepimpinan
dan kecemerlangan sekolah. Kajian ini menggunakan kaedah Delphi yang melibatkan temu bual dan
pengesahan daripada tujuh orang yang pakar dalam bidang pendidikan. Kajian ini mendapati terdapat
terdapat lima tret atau atribut penting yang perlu ada bagi seorang pemimpin sekolah atau pengetua
sekolah bagi menjadikan sekolah cemerlang dan mewujudkan kepimpinan yang lestari. Lima atribut
tersebut ialah atribut Integriti yang mempunyai dua sub-atribut iaitu Berpendirian dan Rendah Hati,
atribut Pandang ke Hadapan yang mempunyai dua sub-atribut iaitu Pemangkin Strategik dan Penggerak
Minda, Atribut Inspirasi yang mempunyai dua sub-atribut iaitu Pendorong dan Berpengaruh, atribut
Kompetensi yang mempunyai sub-atribut Kompetensi Tugas (terdapat dua komponen iaitu berorientasi
Tindakan dan Sosioabiliti), Kompetensi Emosi dan Kompetensi Rohani, dan atribut Efikasi Kendiri.